BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, March 2, 2010

Sebuah Kematian

Setiap yang hidup pasti akan merasai mati...

Itulah fitrah kehidupan manusia di bumi Tuhan. Sesungguhnya kita adalah milik Allah. Kesemua anggota badan kita adalah milikNya jua. Dan setiap hela nafas yang kita nikmati ini adalah atas belas ihsan dan kasih sayang Allah. Ya Allah!aku hidup dan aku mati atas kehendak Mu.


Mas Sudarsono
Lelaki ini kami kenal hampir 4 tahun yang lalu.Dia pada mulanya sekadar seorang Pemandu Pelancong yang membawa kami ketika kami melancong ke Jakarta. Namun atas kuasa Allah, perkenalan itu akhirnya membuahkan sebuah persahabatan yang erat.

Sudarsono yang kusapa Mas Sono, seorang jiwa yang periang dan mulia peribadinya. Anak-anak memanggilnya Om Sono atau kadang-kadang Uncle Sono. Tiap kali kami ke Tanah Seberang, Mas Sonolah yang menguruskan kesemua keperluan kami walaupun sering menuntut lebihan waktu darinya. Tapi dia akan sentiasa senyum dan tidak pernah terlukis penat di wajahnya dalam meladeni anak-anak kami yang begitu banyak karenah.

Sopan tuturnya, manis senyumannya tidak pernah lekang dari ingatan kami. Setiap keperluan diusahakan sehabis baik.
Kerana dia juga, maka kami sering ke sana, kerana ketulusan budi dan
layanan terbaik sudah pasti menunggu.

Namun, Allah maha mengetahui dan setiap sesuatu yang di kurniakan atau ditakdirkan adalah merupakan yang terbaik untuk hambaNya. Tidak dapat kita insan yang daif dan lemah ini menghalang.

Dua tahun yang lalu, ketika kami bawa keluarga termasuk mama, abah dan adik yang ketika itu sedang sibuk mempersiapkan keperluan perkhawinan beliau, ke Jakarta. Mas Sono kelihatan terlalu kurus, gambaran daripada kesihatannya yang kurang baik tentunya.

Nyatanya, dia menghidap diabetes. Namun, dalam keletihan dan keuzuran yang tidak dapat disembunyikan di sebalik manis senyumannya, tidak dia jadikan penghalang untuk membawa kami ke sana ke mari untuk melengkapkan keperluan kami secukupnya.

Kali terakhir aku lihat dia di akhir November itu, dia ceria sekali menyambut kedatangan aku dan kawan-kawan walaupun jauh di sudut hati terbetik betapa kurus dan pucat wajahnya.

28 Januari lalu, sekali lagi aku ke sana, tapi Mas Sono yang sudah kuanggap saudara tidak lagi menjemput, tidak seperti selalunya.Kesihatannya ketika itu amat tidak baik. Namun masih lagi ceria bergurau di telefon. Kalaulah aku tahu bahawa itulah kali terakhir aku bercakap dengannya........

Mas Sono kami pulang di jemput Allah pada 10 haribulan Februari,2010. Tidak kesampaian hajat kami untuk menziarah beliau. Suamiku, yang paling terasa dan terkilan. Sudah terpatri janji untuk menjenguk Mas Sono ketika dia ke Jakarta atas urusan kerja 2 hari sebelum pemergiannya. Tapi waktu membataskan janji yang sangat ingin dipenuhi. Tidak kami ketahui bahawa rupanya Mas Sono begitu mahu menemui Suamiku hari itu. Dia malah sering bertanyakan isterinya , sering juga memberitakan kebaikan suamiku pada keluarganya, padahalnya tiada apa yang dapat membandingkan kebaikan budinya pada kami.

Ajal insan sudah tertulis, tidak dicepatkan walau sedetik malah tidak juga dilewatkan sedetik juga. Mas Sono kembali kepada Penciptanya dini hari 10hb Februari itu, sehari selepas suamiku pulang ke tanah air. Kami kehilangan seorang sahabat , abang dan saudara yang terlalu baik.

Dia pergi tanpa sempat ditunaikan permintaan terakhirnya , kerinduan pada anak2 yang berada jauh di Desa , tidak sempat dilepaskan. Ketika jenazah beliau tiba dari hospital ke rumah sewanya di Jakarta, ketika itu juga tiga orang anak-anaknya yang masih kecil sampai setelah menempuh hampir 7 jam perjalanan darat.Ya Allah.......

Kami tiba lagi di Jakarta untuk menziarahi pusara Mas Sono 2 minggu selepas pemergiannya. Di bandara, ketika melihat wajah adiknya yang menunggu kami, hati diruntun sayu. Bagai terbayang wajah Mas Sono yang dulu sabar menanti walau selewat mana pun kami. Aku jadi rindu pada kebaikan dan ketulusan lelaki itu.Tambahan lagi apabila mengenangkan dia yang sudah tiada lagi dan tidak akan lagi kulihat senyuman itu menunggu dan melambai kami di Bandara.

Perjalan ke Desa Almarhum di Majenang, Jawa Tengah mencuri hampir lima jam masa, dari Bandung. Kami tiba ketika mentari Zuhur sedang berselindung di balik kemendungan awan. Seolah memberkati kedatangan kami untuk menziarahi pusaranya. Aku diterpa dan dipeluk seorang wanita separuh umur yang bertudung kuning. Kami tidak perlu diperkenalkan, kerana lewat penceritaan Mas Sono aku kenal itulah isterinya. Walau tidak pernah bersua, wanita itu seolah terlalu mengenal kami , aku dan anak-anak. Pastinya kerana Mas Sono juga.

Apalah yang mampu aku katakan pada isteri yang telah ditinggal suami ketika hatinya dan jiwanya yang muda masih memerlukan belaian dan kasih sayang, apalah yang mampu aku luahkan kepada anak-anak yang teduh renung matanya itu, yang telah ditinggal yatim di usia sekecil mereka.

Dalam tuturku mengucapkan kesabaran dan takziah, aku pinta agar isteri Mas Sono tabah, tapi hakikatnya air mataku yang deras mengalir sedangkan dia begitu tabah dan kuat. Benarlah, Allah tidak akan memberikan ujian yang tidak dapat ditanggung hambanya.

Seluruh keluarga Almarhum yang kelihatannya serba sederhana tetapi begitu mewah dengan budi, begitu mesra, tak hentinya mengucapkan terima kasih atas kesudian kami menjenguk mereka.

Aku pinta isteri Almarhum dan anak-anak beliau Rifka, Faisal dan Rafli menemani kami ke Pusara.
Langit makin kelam, awan mendung berarak laju mengisyaratkan hujan yang sebentar lagi bakal membasahi bumi Majenang. Pusara yang terletak di hujung desa itu begitu sepi, tenang dan damai. Di sisi kamar abadinya, Mas Sono dipayungi sepohon kemboja yang sedang lebat berbunga.

Kami membaca Yassin di pusara Almarhum, dan ketika deraian air mataku sudah tidak tertahankan, titik-titik kasar hujan mula membasahi kami, jatuh lebat di pipiku, sehingga aku tidak lagi merasa tangisan dan air mataku sendiri. Kulihat suami di sisi juga sudah terisak-isak melagukan bait-bait terkahir kalimahtullah itu. Dan ketika doa kami panjatkan, kami menangis di dalam hujan. Hujan yang seolah turut menangisi pemergian seorang sahabat yang baik dan mulia. Aku makin terharu kerana di sisi kami , dengan sabar anak dan adik Almarhum memayungi kami dengan daun pisang, sedangkan mereka sendiri telah basah kuyup. Isteri almarhum dan anaknya Faisal turut tidak berganjak dan rela dibasahi demi mengaminkan doa sahabat2 yang datang dari jauh.



Aku dan isteri Almarhum, berpelukan pulang dalam rintik hujan. Aku mohon dia sabar dan bersyukur di atas dugaan ini, kerana hanya jiwa yang luar biasa kuat dan tabah saja diuji Allah begini, betapa Allah begitu sayang pada mereka. Malah Siti Aminah juga ditinggal suami ketika Rasulullah masih di dalam kandungan.
Allah malah terlalu kasih padanya kerana dikurniakan 2 orang putera yang cerdik dan seorang puteri yang manis. Tak terhingga syukur aku panjatkan atas ketabahan dan ketakwaan isteri Almarhum yang begitu memahami kehendak Allah, walau takdir dan dugaan itu bakal menuntut kerja keras dan kekuatan emosinya dalam membesarkan anak-anak.
Tidak langsung dia mengucapkan kesusahan malah hanya kasihan pada anak-anak yang tidak puas bermanja dengan ayah dan tidak sempat juga menerima kucupan terakhir. Mulutnya tidak henti memohon maaf jika ada kesalahan Almarhum pada kami atau ada percakapannya yang menyinggung walau dia sebagai isteri lebih memahami yang Alamrhum itu begitu lemah lembut dan pengasih orangnya.
Aku merasa begitu dekat dengan dia. Aku fahami dia walau aku tidak tahu dan tidak yakin mampu setabah dia. Doaku agar ketabahan dan rahmat Allah sentiasa mengiringi dia dan anak-anak. Aku hanya mampu menyatakan anak yatim selalunya berjiwa kental dan tidak mudah patah.Dan jerih payah dia membesarkan mereka dengan takwa dan sabar akan Allah balas dengan rahmat yang maha besar.Mungkin bantuan dan sokongan material mampu kami berikan sekadarnya, tetapi kesabaran dan ketabahan beliau hanya berlandaskan ketakwaan yang jelas kelihatan dalam tutur katanya.Alhamdullilah.


Dan semoga roh Almarhum dicucuri rahmat hingga selayaknya menjadi penghuni syurga dan ditempatkan bersama-sama dengan para hambaNya yang diredhai dan dikasihi, Amin Ya Rabbal A'lamin.

16 comments:

tireless mom said...

Semoga Allah mencucuri rahmat Arwah dan ditempatkan di dalam golongan orang beriman. I didnt get the chance to meet him, but from your description I believe he was a good man and had made heavenly impacts in other people's lives especially the wife and children.

You are equally a kind person at heart DR, menjenguk pusara arwah dan keluarga nya. Terhibur jugak hati mereka kerna ada orang yang ingat.

Kak Ezza@makcik Blogger said...

Orang yang baik bukan saja di sayangi teman dan rakan taulan serta saudara mara malah Tuhan juga amat sayang pada nya...
Al Fatihah buat Allahyarham....

Mama Huptihup said...

*sedihnya aku...*

mamasita said...

Ahh DR..sayunya entry you kali ni..betul2 touching.

Anija, said...

DR,
sedihnya.. aku tiba2 meleleh ayaq mata.. Semoga arwah ditempatkan dikalangan orang yang baik2.. Amin

Naz in Norway said...

Al Fatihah...

liadevega said...

AlFatihah,
rugi aku rasa dpt berjumpa Mas Sono tempoh hari ttp tidak berkesempatan mengenali beliau dgn lebih baik macam hang...

Semoga Allah ampunkan dosa2nya dan melimpahkan rahmat ke atas rohnya

p/s: bila hang pi melawat ni?

Zendra-Maria said...

إنا لله و إنا إليه راجعون

kay_leeda said...

:Sedih:

Semoga roh nya ditempatkan dikalangan orang-orang beriman. InshaAllah....

Salt N Turmeric said...

Alfatihah to arwah. Semoga Allah blessed his soul.

Iron Butterfly said...

may his kindness to you, his family and others be paid handsomely in life hereafter. Amin.


p/s : errr. pusara orang sana mmg macam tu ke? isk.

KG said...

alfatihah utk aruah....

azieazah said...

Alfatihah... Moga dirahmati dia di sana...

Anonymous said...

alfatihah utk arwah... sedih baca entri ni Ja..

cik.yati said...

nak nanges baca tadi..AlFatehah

Cik Kiah said...

Dear Desert Rose,

Murninya hati you, sampai berziarah ke sana melawat pusara arwah...yes, your entry sungguh menyayat hati.

Boleh ke i nak tanya kat sini since you tau selok belok kat Jakarta...i'm going there sometime in June for a wedding..Do you still have any contact of a trustworthy driver? Much appreciate it..